Sunday 19 February 2012

Isu Semasa

Senarai calon PRU-13 wakili parti pembangkang sudah dimuktamad

KUALA TERENGGANU: PKR berhasrat bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata ketika ini PKR negeri sudah memuktamadkan senarai calon untuk bertanding mewakili pakatan pembangkang bagi kerusi berkenaan di kalangan anak jati Terengganu yang disifatkan calon boleh menang.
Beliau berkata, hasrat PKR bertanding di 14 kerusi itu akan dibincangkan bersama pakatan pembangkang peringkat Pusat pada satu mesyuarat khas dalam tempoh terdekat dan senarai calon itu akan dimuktamadkan sebelum 15 Mac ini.

"Hasrat kita ini kerana keadaan PKR yang lebih baik ketika ini, selain PKR sendiri mempunyai ramai calon berwibawa dan boleh menjanjikan kemenangan kepada pakatan pembangkang. Kita sudah kenal pasti calon dan yang pasti, mereka anak jati Terengganu dan berpeluang menang berdasarkan referendum rakyat.

"Setakat ini, kita belum boleh dedahkan kawasan bertanding, tetapi calon dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan PKR Pusat. Ini juga simbolik PKR sudah melakukan persiapan dan bersedia lebih awal untuk menempuh PRU-13 yang diuar-uarkan semakin hampir," katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ketua Cabang Kuala Terengganu berkata, PKR tidak lagi bergantung kepada rakan pembangkang, sebaliknya mahu menggerakkan jentera sendiri.
"Kita mahu PKR mewakili kerusi dalam setiap kawasan Parlimen di negeri ini dan sudah menyiapkan jentera kerana kita tidak mahu terlalu bergantung kepada rakan dalam pakatan seperti PRU-12," katanya.

Ketika PRU-12 pada 2008, calon PKR bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Kemaman dan Dungun, serta lima kerusi DUN iaitu di Kota Putera, Besut; Permaisuri, Setiu; Seberang Takir, Kuala Nerus; Bandar, Kuala Terengganu dan Telemong, Hulu Terengganu, namun gagal memenangi mana-mana kerusi.

Ketika ini, Terengganu memiliki lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dengan dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN dikuasai PAS.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahari Mamat ketika dihubungi berkata, PAS maklum mengenai hasrat pimpinan PKR mengenai agihan kerusi itu, namun enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan kepada mesyuarat PR Pusat untuk membuat keputusan.

"Saya sendiri menjadi pengerusi mewakili PAS pada mesyuarat bagi menentukan kerusi yang akan diwakili parti dalam pakatan pembangkang ketika itu dan setakat ini belum ada apa-apa keputusan kerana masih dalam perbincangan," katanya. 
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

05.03.2012

PM anggap kuasa baru perjuang kebajikan masyarakat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan mengiktiraf pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai kuasa baru pergerakan rakyat dan rakan strategik dalam memperjuangkan isu kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

Oleh itu, Perdana Menteri berharap NGO bergerak seiring dengan kerajaan bagi memantapkan pentadbiran dan memajukan ekonomi, politik dan sosial negara kerana Barisan Nasional (BN) tidak pernah alpa terhadap janjinya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Kita mengiktiraf fungsi NGO sebagai rakan strategik dalam memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, apatah lagi dengan kemampuan NGO muncul sebagai kuasa baru dalam membantu memajukan masyarakat dan negara.

“Dengan ledakan teknologi maklumat (IT) dan fenomena globalisasi, maka berlaku perubahan besar dalam NGO yang hari ini muncul sebagai kuasa baru untuk memajukan masyarakat,” katanya berucap merasmikan program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kira-kira 20,000 pemimpin serta ahli 1,623 NGO dari seluruh negara.

Program itu bertujuan memberi penghargaan kepada NGO sebagai rakan strategik kerajaan dalam membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan pelbagai program agama, kebajikan, kesukarelaan, kesihatan, pendidikan dan kebudayaan.
Pada majlis itu, 18 NGO membuat pengakuan secara berasingan untuk terus memberikan sokongan padu kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, selain memohon kerajaan menyediakan dana lebih besar bagi membantu NGO melaksanakan program kebajikan dan kesejahteraan anggota masyarakat.

Perdana Menteri berkata, kejayaan negara dalam bidang ekonomi, politik dan sosial sekarang dan pada masa depan tidak datang bergolek, sebaliknya direalisasikan melalui kecekapan urus tadbir kerajaan BN yang menjanjikan kelangsungan kesejahteraan.

Katanya, sejajar konsep turun padang dan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan akan mempergiat usaha mendekati NGO berbanding menunggu pertubuhan itu datang untuk memohon bantuan kerajaan sebelum ini.

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KDN siasat isu kanak-kanak tiada warganegara di Sabah

26/02/2012 3:41pm

KLUANG 26 Feb. — Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menghantar pasukan khas ke Sabah dua hari lepas untuk menyiasat dengan lebih terperinci isu berkenaan kanak-kanak tidak berwarganegara di negeri terbabit, kata menterinya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata, pihaknya akan menumpukan kepada beberapa kawasan di Sabah seperti Semporna dalam usaha menyelesaikan masalah berkenaan.
"Isu itu amat dekat dengan saya dan hari ini saya memberikan komitmen untuk menangani masalah itu dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Semberong berkata, demikian selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Agensi Anti Dadah Peringkat Kebangsaan di Taman Sri Lambak, di sini.
Hishammuddin berkata, usaha mencari penyelesaian teradap isu kanak-kanak tidak berkewarganegaraan di Sabah memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk pemimpin tempatan dan agensi-agensi kerajaan.

---------------------------------------------------------------------------------

 Malaysia terima permohonan ekstradisi dari semasa ke semasa 

2012/02/23  

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia sentiasa menerima permintaan ekstradisi dari negara luar untuk menghantar penjenayah yang ditahan oleh polis atau imigresen bagi dihadap ke muka pengadilan di negara berkenaan. "Hampir setiap bulan, malah dari Amerika yang membabitkan bukan warganya pun ada, tapi saya tidak boleh dedahkan dengan lebih terperinci maklumat risikan mengenainya," katanya.

Katanya selain dua individu yang dikehendaki negara Amerika itu, awal tahun ini juga menyaksikan Malaysia menahan dan menghantar pulang beberapa individu yang dikehendaki di Singapura.
Bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, beliau berkata Malaysia sentiasa bertegas dalam perkara itu, bagi mengelak daripada dianggap sebagai tempat transit oleh penjenayah merentasi sempadan mahupun pengganas.


Beliau berkata dasar Malaysia adalah jelas, ia tetap tidak akan membenarkan mana-mana pihak melihat Malaysia sebagai pengkalan atau tempat untuk merancang aktiviti jenayah.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia telah menerima permohonan ekstradisi daripada Thailand, terhadap seorang rakyat Iran yang merupakan suspek dalam tiga kejadian letupan bom minggu lepas di Bangkok, Thailand.

"Saya yang minta pihak berkuasa Thailand buat permohonan itu segera, kalau ada permintaan lebih awal, kita boleh hantar (rakyat Iran itu) lebih awal," katanya.
Dua hari lalu, Menteri Luar Thailand, Thani Thongpakdi dilaporkan berkata Bangkok secara rasmi menghantar permohonan ekstradisi melalui kedutaan Thailand di Kuala Lumpur.

Masoud Sedaghat Zadeh, 31, ditahan pada 3.30 petang 15 Februari lalu di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di bawah Akta Imigresen ketika hendak berlepas ke Iran, selepas tiba dari Thailand pada malam sebelumnya.

Hishammuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah berkaitan kanak-kanak jalanan yang tidak memiliki status warganegara.

Beliau berkata masalah ini banyak dikesan di Sabah, dan beberapa bandar besar dalam negara, kebanyakannya membabitkan kanak-kanak yang ditinggal begitu sahaja oleh ibu bapa, tanpa dokumen kelahiran.

Katanya jika masalah mereka tidak ditangani awal, mereka akan membesar dalam keadaan dinafikan daripada pelbagai keperluan penting seperti taraf kewarganegaraan, pendidikan, perubatan, dan banyak lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Hishammuddin berkata bagi tempoh antara Januari dan November lalu, jenayah indeks menurun 16,761 kes, iaitu berkurangan 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi jenayah jalanan pula peningkatan kehadiran polis dan sukarelawan seperti RELA dan Jabatan Pertahanan Awam menyebabkan penurunan 14,226 kes, iaitu pengurangan 40.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Saya gembira kerana pencapaian negara turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Misalnya laporan World Justice meletakkan Malaysia di tempat paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan sederhana atas, dan ke-12 paling selamat di dunia, mengatasi kedudukan Amerika Syarikat dan Great Britain," katanya.

Katanya Indeks Keamanan Global pula meletakkan Malaysia sebagai negara paling selamat dan paling aman di Asia Tenggara, negara paling selamat di rantau Asia Pasifik dan negara ke-19 paling selamat di seluruh dunia. - BERNAMA


 -----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

21 Februari, 2012 20:40 PM

Anwar Perlu Beri Penjelasan Kepada Majlis Syura Pas - Ahmad Maslan
 KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mendesak Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan kepada Majlis Syura PAS berhubung kenyataannya mengenai isu keselamatan negara Israel.

Ahmad berkata tindakan Anwar menjelaskan kenyataannya itu kepada Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat di sini Selasa boleh diibaratkan sebagai lakonan politik semata-mata.

Ini kerana sudah terbukti Menteri Besar Kelantan itu sentiasa memihak kepada Anwar termasuk dalam kes liwat dan video seks, kata Ahmad.

"Pendirian Nik Aziz tiada kredibiliti kerana beliau ulama politik. Jika Anwar takut hendak berdepan dengan Majlis Syura PAS, maka tidak perlulah heboh mahu berdebat dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya dalam satu kenyataan di sini, petang ini.

Selepas pertemuan kira-kira sejam hari ini, yang turut disertai Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Anwar berkata Nik Aziz memahami pendirian beliau mengenai Israel.

Pertemuan itu diadakan selepas Nik Aziz menggesa Anwar menarik balik kenyataan itu sekiranya benar ia dibuat atau menyaman The Wall Street Journal sekiranya laporan itu salah


 --------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

21 Februari, 2012 19:13 PM

 
Cendekiawan Sokong Kenyataan Rais NGO Bukan Kuasa Ketiga

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kalangan cendekiawan bersetuju bahawa badan bukan kerajaan (NGO) yang cenderung memainkan isu-isu politik perlu mendaftar sebagai parti politik dan tidak berselindung di sebalik topeng mana-mana NGO.

Mereka sependapat bahawa rakyat juga tidak boleh dengan mudah menganggap NGO yang cuba memainkan peranan dan isu politik sebagai Kuasa Ketiga yang dilaung-laungkan banyak pihak sekarang.

Apatah lagi untuk NGO itu sendiri mengakui ia memainkan peranan sebagai Kuasa Ketiga, sedangkan hakikatnya NGO itu mungkin hanya dianggotai oleh empat atau lima orang jawatankuasanya, dan tidak sekali-kali mewakili suara rakyat terbanyak.

Para cendekiawan itu menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menasihati rakyat jangan mudah melabel NGO sebagai Kuasa Ketiga kerana NGO itu sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa, kerana kuasa yang sebenarnya berada di tangan rakyat.

Rais berkata demikian dalam temu bual khas dalam program popular "Kerusi Panas" Bernama Radio24, sempena pelancaran peluasan siaran stesen radio itu ke selatan tanah air di Johor Baharu, semalam.














-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

22 Februari, 2012 17:05 PM

Tidak Perlu Berbai'ah Kepada Pemimpin Yang Hanya Manusia Biasa - Dr Mahathir

SHAH ALAM, 22 Feb (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata seseorang Muslim tidak perlu berbai'ah kepada pemimpin yang hanya merupakan orang biasa.

Bai'ah bermakna kita 'swear loyalty' (sumpah taat setia) kepada pemimpin yang manusia biasa dan boleh buat benda yang salah...bahkan kita dapati banyak pemimpin PAS yang buat salah daripada segi agama," katanya.

Katanya seseorang Muslim hanya perlu tunduk kepada Allah SWT dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah.

Dr Mahathir mengulas laporan akhbar Rabu bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata setiap calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai'ah, satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah dan sesiapa yang melanggarnya "akan celaka dunia dan akhirat".

"Tidak ada perlu Bai'ah kepada sesiapa...bukan pun Nabi, jadi nak Bai'ah buat apa?" kata Dr Mahathir pada sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana "Transformasi Minda Penyelidik Muda" anjuran Persatuan Pascasiswazah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA di sini hari ini.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

February 22, 2012 12:55 PM

Gangguan Bekalan Air 10 Jam Di Beberapa Lokasi Di Tawau Jumaat Ini

TAWAU, 22 Feb (Bernama) -- Beberapa kawasan di sini dijadualkan mengalami gangguan bekalan air selama 10 jam pada Jumaat ini disebabkan kerja-kerja pemasangan paip bersaiz 1,000mm di Loji Rawatan Air Cinta Mata.

Menurut satu notis yang difakskan ke pejabat Bernama di sini, gangguan bekalan itu pada jam 8 pagi hingga 6 petang dan antara kawasan terlibat ialah semua kawasan Air Panas, Sin On dan sepanjang Jalan Utara hingga ke kawasan bandar Tawau.

Kawasan lain yang turut terlibat ialah semua kawasan sepanjang Jalan Kuhara hingga ke kawasan bandar Tawau, seluruh kawasan Tanjung Batu dan seluruh kawasan bandar Tawau dan kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, pengguna di seluruh kawasan berkenaan dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya untuk kegunaan mereka.

Menurut notis berkenaan kerja-kerja pemasangan paip itu akan ditangguhkan ke suatu masa yang akan dimaklumkan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

 -----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Program Transformasi Jabatan JPJ Dilancar Seluruh Negara April Ini


ALOR SETAR, 20 Feb (Bernama) -- Program Transformasi Jabatan (JTP) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dimulakan sejak pertengahan 2010 dijangka akan diaplikasikan di seluruh negara pada April ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata program melalui pembangunan semula sistem pengkomputeran jabatan itu telah pun 49 peratus siap dan berada dalam fasa pembangunan sistem.

Beliau berkata ujian penerimaan pengguna oleh JPJ sedang berjalan bagi aktiviti utama pengurusan penguat kuasa dan kutipan hasil.

Katanya pembangunan semula sistem itu melibatkan empat modul perkhidmatan teras JPJ iaitu pengurusan pendaftaran kenderaan dan kejuruteraan automotif, pengurusan perlesenan pemandu, pengurusan penguatkuasaan serta pengurusan kutipan hasil.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Wanita Islam Sabah terpaksa masak babi kerana terlalu miskin

Kalau di televisyen, radio dan surat khabar, setiap hari rakyat Malaysia disuap dengan berita-berita propaganda, kononnya hanya Barisan Nasional sahajalah yang pandai memerintah Malaysia. Hanya Barisan Nasional sajalah yang membawa kemajuan kepada rakyat. Parti-parti lain hanya akan menjahanamkan negara.


Tapi realitinya, Negeri Sabah yang ditadbir berpuluh tahun oleh Barisan Nasional, adalah Negeri paling miskin dan mundur di Malaysia. Hal ini disahkan sendiri oleh Bank Dunia, rujuk sini [Sabah Miskin] Kerana itu TV3 suku sudah berhenti daripada menyiarkan berita Kelantan negeri mundur, kerana Negeri paling mundur adalah Negeri Sabah. Kalau tidak setiap hari TV3 jadi agen penyebar propaganda Kelantan mundur.

Kemunduran Negeri Sabah sebenarnya jauh dari apa yang anda dan ReJaM© bayangkan. Kemunduran Negeri Sabah sampai ke tahap darurat yang tak pernah terjangkau oleh akal kita. Sehinggakan wanita Islam sanggup bekerja di restoran bukan Islam, memegang dan memasak babi, malah diberikan makanan yang tidak halal semasa bekerja.

Menitik air mata ReJaM© menyaksikan hal ini disembunyikan oleh media-media pengampu kerajaan semata-mata untuk menjaga imej "tuan" mereka. Saudara kita di Sabah, kerana terlalu miskin terpaksa merendahkan diri ke tahap paling hina, sedang pemimpin hanya pandai menyebarkan propaganda merekalah pembawa kemajuan.

Kisah rakyat bawahan yang susah disembunyikan, sebaliknya media-media kerajaan sibuk menyiarkan kisah video seks setiap hari untuk memperbodohkan orang kampung, makcik-makcik dan pakcik-pakcik felda. Orang kampung yang tiada maklumat inilah harapan kerajaan gerombolan songkok tinggi untuk terus berkuasa.

Kepada gerombolan songkok tinggi, pemimpin kamu akan terus menipu dan memperbodohkan kamu, manakala kamu pula akan terus lena dibuai propaganda. Malah kamu bangga diperbodohkan..

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pemimpin Pembangkang Tipu Rakyat, Hanya Bawa Suara Sendiri - Wakil Melaka

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Perwakilan Umno menyambung perbahasan pada Jumaat dengan membidas pembangkang yang disifatkan mereka sentiasa mencari jalan memperlekehkan usaha kerajaan Barisan Nasional serta memfitnah pemimpin Umno.

Wakil Melaka Datuk Hasnoor Sidang Husin berkata pembangkang menipu rakyat kononnya mereka mewakili suara masyarakat, sedangkan segala yang dibangkit adalah luahan kelompok mereka sendiri.


"Mereka mendesak pemansuhan Akta ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) beralaskan slogan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun bila kerajaan umumkan bakal memansuhkan akta ini, tak ada pun kenyataan menyokong dan berterima kasih kepada Perdana Menteri," kata Ketua Penerangan Umno Bukit Katil itu ketika membahas usul ucapan dasar presiden, di sini.


Katanya pembangkang akan terus menabur fitnah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap Umno dan pemimpinnya.


Wakil Pahang Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak pula menyeru anggota Umno agar bangkit menangkis segala fitnah pembangkang itu.


"Pembangkang melontarkan fitnah bertalu-talu terhadap Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) sampaikan ketika beliau mengerjakan haji pun mereka sebar pelbagai fitnah," katanya.


Wan Amizan juga membidas segelintir anggota Umno yang turut memburukkan keadaan dengan menokok tambah cerita sehingga mengelirukan pembangkang.


"...jadi bermula hari ini, kita semua berjanji untuk padamkan apa saja fitnah dan keburukan terhadap pemimpin dan parti," katanya.


Dalam pada itu, Wan Amizan memohon agar pemimpin Umno agar tidak menimbulkan kontroversi sehingga mewujudkan keraguan rakyat terhadap kepimpinan parti itu.


Ini kerana katanya, anggota Umno pada peringkat akar umbi menghadapi kesukaran untuk menjawab dan menjelaskan kepada rakyat mengenai permasalahan yang timbul.

 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

 

 

 

 

 

Ucapan Najib Tunjukkan UMNO Bukan Hanya Perjuangkan Orang Melayu Tetapi Juga Bangsa Lain

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis sebagai ucapan yang amat baik kerana ia memperjelaskan bahawa Umno bukan parti rasis.

Dr Mahathir berkata ucapan perdana menteri telah menyedarkan rakyat bahawa Umno bukan sahaja memperjuangkan semangat orang Melayu tetapi juga perjuangan untuk menjamin kelangsungan bangsa-bangsa lain di negara ini.


"Ia ucapan yang amat baik. Beliau (Najib) memperingati ahli-ahli Umno berkenaan sejarah Umno.


"Bagi orang yang tuduh Umno rasis, beliau menegaskan Umno bukan sebuah parti rasis...Ia (Umno) bukan sahaja membantu orang Melayu, tetapi ia juga membantu orang lain (bangsa lain) juga," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas ucapan dasar Najib pada Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini pada Khamis.


Terdahulu, Najib dalam ucapannya berkata apa yang yang dicapai hari ini bukan dibina dalam tempoh singkat tetapi menerusi perjuangan, pengorbanan dan kerja keras oleh pemimpin-pemimpin semua bangsa termasuk Iban, Kadazan, Orang Asli dan Siam bagi memastikan generasi muda mempunyai masa depan cerah.


Ditanya sama ada beliau berpendapat pilihan raya umum semakin dekat, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu dan sekiranya betul, menurutnya perkara itu terserah pada Najib.


"Saya tidak tahu, saya fikir Umno sudah agak bersedia. Tetapi saya tidak tahu sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya atau tidak, itu di luar pengetahuan saya. Beliau tidak pernah beritahu saya. Terserah kepada PM (perdana menteri)," katanya.


Najib, sejak kebelakangan ini telah membayangkan bahawa pilihan raya umum ke-13 mungkin diadakan tidak lama lagi dan menggesa anggota Umno meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

  -------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

February 20, 2012 18:43 PM 


PGM Rampas 1,130 Bijil Telur Penyu Di Sandakan Sabah

SANDAKAN, 20 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Marin (PGM) merampas 1,130 biji telur penyu yang cuba diseludup masuk untuk pasaran haram di daerah ini.

Komander Markas PGM Wilayah Sabah ACP Abdul Manaf Othman berkata bot yang membawa telur penyu itu berjaya dikesan di kawasan perairan laut Kampung Forest dekat sini, kira-kira pukul 1.30 pagi ini.

Telur penyu dianggarkan bernilai RM2,500 itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dijual di kawasan bandar Sandakan, katanya.

Beliau berkata juragan bot itu dapat melarikan diri dan kes disiasat mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Abdul Manaf meminta orang ramai tidak membeli telur penyu yang dijual secara haram di daerah ini kerana tindakan itu akan menggalakkan penyeludupan berikutan wujudnya permintaan.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

February 20, 2012 16:37 PM 


Jangan Ambil Ringan Keamanan Dan Kemakmuran Dikecapi Negara Hari Ini

SEMPORNA, 20 Feb (Bernama) -- Rakyat diingatkan supaya tidak memandang ringan keamanan dan kemakmuran yang negara dan mereka kecapi hari ini dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat suasana itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafei Apdal yang juga Naib Presiden Umno berkata rakyat perlu mensyukuri segala nikmat yang dikecapi mereka dalam suasana negara aman selama ini dengan berusaha mempertahankannya, kerana negara tidak mudah dipulihkan apabila berlaku kacau bilau.

"Saya berharap rakyat Malaysia di negara kita harus memelihara kesejahteraan dan keamanan di negara kita yang saya percaya bukan mudah untuk kita sampai ke tahap ini, dalam keadaan masyarakat pelbagai kaum, pelbagai anutan agama yang terdapat di negara kita.

"Kita jangan ambil ringan kerana apabila sudah berlaku huru-hara, bukan mudah untuk memulihkannya. Kita lihat beberapa negara, bukan sahaja di Afrika tetapi juga di Timur Tengah, keadaannya terumbang-ambing. Untuk memulihkan keadaan itu kepada yang stabil apa lagi untuk membangunkan negara mereka bukan mudah. Ia perlu mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali kepada keadaan asal," katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat daerah Semporna di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Parti KITA Diberi Surat Tunjuk Sebab Oleh Pendaftar Pertubuhan

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), yang ditubuhkan lebih setahun lalu, kini menghadapi risiko kemungkinan pendaftarannya dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha parti KITA Masrum Dayat berkata ini kerana parti itu telah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 9 Feb daripada ROS yang meminta mereka menjelaskan mengapa pendaftaran parti tidak patut dibatalkan.

"Surat ditandatangani Timbalan Pendaftar meminta kita menjawab beberapa perkara berkaitan dengan pentadbiran parti...tak silap, lima perkara semuanya, sebelum 9 Mac ini. KITA sedang dalam proses menyediakan jawapan terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau tidak menjelaskan aspek pentadbiran itu tetapi sumber parti memberitahu antara perkara yang dibangkitkan ROS adalah pelanggaran perlembagaan parti dalam urusan pelantikan beberapa ahli ke jawatan tertentu yang dikatakan tidak dibuat melalui Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JEP).

Selain itu, parti itu diminta membuat penjelasan mengenai pelanggaran perkara 12.3.4 Undang-undang Berdaftar Persatuan kerana minit mesyuarat JEP bertarikh 29 Jun lalu dikatakan tidak disediakan oleh setiausaha parti.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


21 Februari, 2012 13:07 PM

Abdullah Yakin BN Menang Besar Dalam PRU-13

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kemenangan lebih besar dalam pilihan raya umum ke-13 berbanding pilihan raya yang lepas pada 2008, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada usaha dan kerja keras pemimpin BN dalam memberi khidmat terbaik bagi membela nasib rakyat di negara ini.


"Boleh (menang lebih besar)...bergantung kepada sejauh mana kita dapat yakinkan rakyat bahawa kerajaan kita dapat membawa kejayaan yang lebih besar dalam pelbagai bidang.


"Bukan tumpu kejayaan pada pilihan raya sahaja, kejayaan memberi khidmat kepada rakyat ini perlu berterusan," katanya kepada pemberita pada Selasa.


Mengulas cabaran Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah berkata debat bukan cara untuk menyelesaikan masalah rakyat.


"Debat bukan satu penyudahan bagi segala-galanya. Apa yang penting ialah sumbangan kerajaan kepada rakyat melalui program perlu dilaksanakan.


"Jayakan projek seperti dimahukan rakyat, itu diutamakan. Debat bukan sesuatu yang boleh dipaksa, terpulang kepada Najib. Tidak perlu saya beri nasihat, beliau lebih memahami," katanya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

20 Februari, 2012 23:25 PM

Anwar Jumpa Nik Aziz Esok - Mahfuz

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Pertemuan antara Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu keselamatan negara Israel akan berlangsung Selasa.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengesahkan demikian pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini Isnin, namun lokasi dan masa pertemuan itu tidak dimaklumkan.

Pertemuan itu menjadi perhatian banyak pihak ekoran kenyataan kontroversi Ketua Pembangkang itu yang menyokong keselamatan negara Israel.

Pada 13 Feb lepas, Nik Aziz menggesa Anwar supaya menarik balik kenyataan sokongan itu sekiranya benar dibuat atau menyaman The Wall Street Journal sekiranya laporan itu salah.

Menjawab soalan apakah yang akan dilakukan PAS sekiranya Anwar tidak menarik balik kenyataan sokongan itu, Mahfuz berkata: "Itu kita tunggu hasil pertemuan mereka".


--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

21 Februari, 2012 13:11 PM

Rakan Cop Di Perak Perlu Lebih Aktif Salur Maklumat Jenayah Kepada Polis

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Rakan Cop di negeri ini perlu lebih aktif dalam menyalurkan maklumat kepada polis dalam usaha mengurangkan kes jenayah, kata Ketua Polis Perak Datuk Ahmad Shukri Dahalan.

Beliau berkata terdapat seramai 117,401 anggota Rakan Cop di negeri ini tetapi mereka gagal menggunakan platform yang ada untuk membantu polis membanteras kes jenayah.

"Saya menggesa Rakan Cop supaya mengunakan platform tersebut dengan menghantar maklumat sekiranya melihat kes jenayah yang berlaku di kawasan penempatan, perumahan atau di mana juga mereka berada," katanya selepas perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di sini, pada Selasa.

Beliau berkata maklumat yang disalur dapat mengurangkan jenayah seperti ragut, pecah rumah dan kecurian motosikal yang sering berlaku di negeri ini.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


No comments:

Post a Comment